Saturday, November 29, 2008

MASIH HIDUP

SUSUK (Amir Muhammad & Naeim Ghalili)


Wau penamatnya buat aku meremang. Terpaku aku sekejap. Bukan disebabkan takutkan 'hantunya', tapi seram secara psikologi yg datang bila aku imbau balik babak-babak awal dalam filem ini, yang pada mulanya aku sangka tak ada apa-apa signifikasi pada jalan cerita. Satu penamat yang betul-betul melengkapkan filem ini. Mengikat semua jaringan-jaringan plot, dan juga mengupas jiwa sebenar Susuk. Ia bukan filem 'seram' yang biasa. Filem Susuk ada naratif yang lebih kompleks dan mendalam daripada apa yang terang-terang dipaparkan. Jarang sekali kita dapat sebuah filem seram, tempatan ataupun mana-mana sekalipun, yang mempunyai jalan cerita yang kuat. Maksud aku, kebanyakan filem seram hanya nak menakutkan penonton saja tanpa apa-apa sokongan naratif yang merangsang otak. Jalan cerita hanya dijadikan 'alasan' untuk menyumbat seberapa banyak babak seram yang boleh, contohnya filem Jangan Pandang Belakang dan klon-klonnya. Tapi tidak Susuk. Cerita dan skrip diutamakan. Sebab ni aku dapat rasakan ramai orang yang tak suka Susuk. Babak-babak 'hantu' pun hanya diselit sedikit saja, mungkin hanya nak memuaskan hati penonton yang masuk panggung mengharap filem seram yang tradisional. Memang efek-efek hantunya tampak murahan, tapi itu bukan nadi utamanya. Ternyata, objektif utama Amir Muhammad adalah nak menyampaikan cerita. Cara plotnya dikupas yang melekatkan perhatian aku. Jadi aku tak kisah pasal isu seram tak seram tu. Tambahan lagi filem ni dibarisi pelakon-pelakon yang hebat. Paling mengejutkan adalah lakonan Diana Rafar, yang tampak bersahaja dan membuatkan perkembangan wataknya 'believable'. Yang menariknya aku juga dapat rasa ada sentuhan surrealisme David Lynch (watak utama yang naif dikelilingi kejadian-kejadian pelik/surreal yang akhirnya dia sendiri terjerumus ke dalamnya). Amir/Naeim berjaya mengangkat filem ini keluar daripada kepompong satu genre, menjadi hasil artistik yang aku berani katakan filem tempatan terbaik tahun ini.

Tapi sebenarnya, aku rasa peminat-peminat filem seram takkan ada masalah dengan Susuk. Yang aku maksudkan mereka yang betul-betul peminat sejati, yang sekurang-kurangnya sudah tonton filem-filem Dario Argento. Hah babak kegemaran aku dalam Susuk sudah pasti babak 'homage' Dario Argento tu! Stail! Selepas saja babak tu aku terus yakin yang pembikin filem ni tau apa yang mereka buat, dan akhirnya memang betul sangkaan aku.

4/5

PENSIL (M Subash)


Pada dasarnya filem Pensil sama saja dengan mana-mana filem/telefilem arahan Rashid Sibir. Cuma bezanya M Subash adalah pengarah filem yang lebih baik. Pensil lebih berkesan, lebih autentik dan kurang menjengkelkan dalam memancing air mata penonton. Aku sangat, sangat memuji M Subash sebab menonjolkan budaya melayu/Islam dengan lebih baik daripada kebanyakan pengarah filem melayu sendiri. Tengok saja posternya yang guna tulisan Jawi tu. Dan seperti mana-mana pengarah 'auteur', ada eksplorasi personal yang dibawanya; pertembungan bangsa Melayu dan India (watak Badrul kacukan melayu/india). Hubungan antara watak Badrul(M Subash) dan neneknya(Ruminah Sidek, lakonannya gila hebat!) adalah yang paling menarik bagi aku. Aku nantikan filem seterusnya daripada pengarah baru ni.

3.5/5

SEPI (Kabir Bhatia)


Filem ni ada potensi. Ada cebisan-cebisan tema 'kesepian' yang menarik dijelajahi. Tapi keseluruhannya dirosakkan dengan melodrama murahan dan situasi-situasi yang terlalu 'fantasi'. Maaf, aku tak dapat rasa emosi yang autentik dalamnya. Alah kau akan kata "Cerita jiwang memang macam tu! Kalau tak fantasi tak best!". Memang, filem Cinta juga ada penyakit 'fantasi keterlaluan' ini, tapi ia diseimbangkan dengan naratif dan karakter-karakter yang aku ada rasa empati. Ada connection. Sepi tak ada dua benda ni. Senang cerita, aku bosan dengan Sepi dan kesepian (haha).

2/5